ISLAM DAN FALSAFAHNYA DALAM KEBUDAYAAN MELAYU OLEH IDRIS ZAKARIA.



Image result for budaya melayu di malaysia
Sumber : kosmo.com.my  ( gambar sekadar hiasan)

Sudah beratus-ratus tahun lamanya agama Hindu-Buddha mempengaruhi corak pemikiran masyarakat Melayu sehingga mengetepikan kepentingan dari segi kefahaman intelektual dan pegangan kerohanian yang benar. Apa yang dicorakkan terhadap masyarakat Melayu dalam lebih kuran 800 tahun ialah semata-mata penerapan yang bersifat hayalan dan mitos. Agama tersebut tidak juga membentuk pemikiran golongan atasan secara jitu melainkan keprcayaan tinggi darjat Raja dan golongan bangsawan, apatah lagi pembentukan kehidupan yang membawa kemajuan kepada masyarakat sudah tentulah tiada langsung atau jauh sekali.

Malah, rakyat bawahan dipandang hina dan dipisahkan melalui sistem kasta. Kedatangan Islam telah membawa perubahan besar kepada masyarakat seluruh tanah Melayu tanpa mengira kasta atau kelas sosial masyarakat. Unsur mitos dan hayalan mula hilang kepentingan. Jika tidak kerana menurut kepada ajaran agama yang hadir iaitu Islam, makan pasti pemikiran masyrakat tetap jumud dan ketinggalan zaman.

Justeru, Idris Zakaria menekankan sebab utama agama Islam dapat diterima dalam membentuk kebudayaan masyarakat Melayu. Menurutnya, akidah ialah sesuatu yang mudah diterima akal iaitu meletakkan Tuhan sebagai penentu takdir dalam segala sesuatu yang berlaku dalam dunia ini. Hal ini jauh pula berbeza dengan tradisi sekular yang memisahkan peranan Tuhan seperti pegangan Barat yang meletakkan manusia sebagai sebagai pencorak dan penentu takdir.

Keperayaan seperti itu ialah sesuatu yang membawa kesan besar terhadap corak kehidupan seseorang manusia yang sebenarnya dia merasa seperti bebas melakukan apa sahaja tetapi hakikatnya hatinya tidak pernah merasa tenang dan aman, tetapi dia sentiasa menafikan hal tersebut. Menurut saya, perkara ini sering berlaku dalam kehidupan masyarakat sehingga akhirnya jalan yang diambil ialah dengan menjadi seorang athiest atau tidak beragama demi mencari keindahan kesenian yang bebas daripada mana-mana pegangan dan ketenangan abadi walaupun hakikatnya mereka tidak berjaya mengecapi ketenangan yang didambakan dan dalam diam mencari-cari kebenaran. Apabila titik berangkatnya sudah berbeza maka sudah tentulah perbezaan itu mempengaruhi seluruh spektrum kehidupan secara umum dan seni serta budaya secara khusus (Mana Sikana 1966).

Dapat dilihat juga apabila manusia memisahkan akidah dan ketuhanan dalam kebudayaan dan keseniaan, maka timbul pula konsep keindahan yang disandarkan kepada manusia semata-mata untuk mengisi segala kelompongan sebagaimana yang disebut oleh Shahnon Ahmad (1981) bahawa dari sinilah timbul dan berkembangnya konsep Seni untuk Seni yang beliau anggap bercanggah dengan Islam.

Syed Muhammad Naquib (1972) menekankan berkenaan kekuatan agama Islam yang mampu menggerakkan daya rasional dan intelek manusia Melayu Indonesia. Perkembangan dalam bidang akademik dan intelek Melayu-Indonesia telah memajukan lagi kesusasteraan dan ketamadunan masyarakat Melayu dan keilmuan semakin bertambah apabila masyarakat secara meluas terdedah kepada hikayat-hikayat yang mempunyai ciri-ciri persuratan Islam seperti Hikayat-Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mi’raj, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Iskandar Dzulkarnain, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Hanafiah, Hikayat Nabi Sulaiman dan Hikayat Amir Ibn Umayah yang berkiblat Islam dan Timur Tengah.

Malah, antara hikayat yang bercirikan nusantara juga disebarkan dalam meningkatkan ilmu kesusasteraan. Antaranya ialah Hikayat Raja Pasar, Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Melayu, Hikayat Panji Kuda Semirang, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Shah Kobat, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain lagi. Kehebatan agama Islam dalam membentuk kebudayaan dan kekuatan penganutnya dalam perjuangan juga dapat dibuktikan melalui sejarah di Pasai (1250-1524), Melaka (1400-1511), Johor (1511-1779), Acheh (1500-1900), Palembang (1650-1824), Riau (1779-1911), (Teuku Iskandar 1995) dan sebagainya.

Falsafah agama Islam yang penuh damai dan toleransi juga merupakan salah satu sebab yang berjaya membentuk jiwa dan kebudayaan masyarakat Melayu. Agama Islam bukanlah agama yang memaksa-maksa, bahkan disampaikan secara damai sesuai dengan kebudayaan Melayu dan penuh tertib. Bahkan hal ini juga diakui oleh Thomas W. Arnold melalui bukunya The Preaching of Islam (1950). Melaka merupakan contoh terbaik yang membuktikan budaya perdamaian dan pusat rujukan ilmu Islam kerana itulah ramai yang sanggup dari pelosok dunia sanggup datang berdagang dan menuntut ilmu. Tiadalah perang melainkan demi melindungi tanah air dan agama daripada cetusan kejahatan Barat yang menyerang.

CABARAN PENGHAKISAN PEGANGAN ISLAM

Antara gerakan dan eleman yang dianggap sebagai cabaran utama dalam pembentukan kebudayaan berteraskan Islam ialah gerakan liberalisma dan pluralisma agama serta gelombang globalisasi. Impak negatif muncul dari gerakan ini. Gerakan liberalisma ini ialah yang memisahkan hal agama dengan hal-hal kehidupan seperti pendidikan, ekonomi dan politik. Bahkan golongan inu tidak memandang kita al-Quran sebagai sesuatu yang suci tetapi dipandang dan dikritik sama seperti buku-buku sastera.

Malah, ia juga membentuk masyarakat yang berfikiran kritis dan kreatif yang melampau-lampau. Sebagaimana yang kita tengok kini, masing-masing memberi hujah dan pendapat yang kelihatan amat bernas dalam membahaskan fatwa. lagak mereka bagaikan ulama’ muktabar atau seolah mencabar ulama’-ualam’ yang mengeluarkan fatwa tersebut. Sedangkan mereka baru sahaja lima kali menyertai usrah dan ceramah.

Sedangkan ulama-ulama yang mengeluarkan fatwa bukanlah ulama’-ulama’ biasa tetapi yang perlu memenuhi kelayakan-kelayakan tertentu. Inikan pula kita masyarakat yang bahkan kurang ilmu agama sudah tunjuk kesombongan dan angkuh di medan diskuis ‘meja bulat dunia’ atau Facebook. Tanpa kita sedari, kita sudah terjerumus ke dalam lingkungan masyarakat budaya keliru sehingga muncul golongan seperti Asiah Jalil dan sebagainya.

Cabaran lain juga ialah setelah kecelaruan ini tidak dapat dirungkai, muncul pula golongan Agama Pluralisma yang menganut banyak agama sekaligus atau bertukar-tukar agama dalam waktu-waktu tertentu. Sebagaimana yang saya lihat, alasan mereka ialah demi ‘experience’ atau mengalami sendiri bagaimanakah perasaan sebagai penganut agama-agama tertentu hingga menemui yang manakah paling tenang dan sesuai dengan jiwa mereka. Sedangkan al-Quran telah membicarakan dalam surah al-Ikhlas, ayat pertama bahawa “Katakanlah, hanya Allah yang satu”. Hal ini banyak dilihat dalam peradaban di Indonesia dan menular pula ke Malaysia.

Menurut Abdul Rahman (2000), cabaran globalisasi juga turut menjadi salah satu perkara yang menghakis pegangan Islam. Kita hanya lihat ia sebagai sesuatu yang fenomena yang bagus kerana membolehkan struktur domestik negara seperti ekonomi, politik dan budaya dapat didedahkan di persada dunia. Namun, ia juga sekaligus turut telah memberi satu laluan pencerobohan sempadan negara,pegangan dan ideologi sehingga jika tidak difahami dengan betul, ia akan turut memberi kecelaruan terhadap kebudayaan masyarakat Melayu.

Justeru, segala cabaran yang datang dalam membentuk kebudayaan masyarakat Melayu dapatlah ditangkis jika kekuatan Islam dan falsafahnya benar-benar diselami, dihayati dan dipatuhi sebenar-benarnya hingga juga memperkuatkan zahir dan batin masyarakat.

Rujukan:

Idris Zakaria. 2012. Islam dan Falsafahnya Dalam Kebudayaan Melayu. http://www.ukm.my/jhadhari/

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Comments