MITHAQ SEBAGAI LANDASAN AGAMA DAN AKHLAK, dalam karya Adab dan Peradaban: Karya Pengiktirafan untuk Syed Naquib al-Attas.


Image result for adab dan peradaban al attas


Pengarang makalah Mithaq Sebagai Landasan Agama dan Akhlak, Mohd Farid Mohd Shahran telah memetik definisi mithaq oleh al- Attas yang bermaksud perjanjian asali dan persaksian manusia terhadap ketuhanan Allah sebelum kewujudan mereka di dunia ini. Persaksian manusia terhadap ketuhanan bermaksud manusia wajib beribadah dan hanya menyembah Allah dalam segala hal yang dilakukan di dunia serta sebagai cara pegangan hidup atau al-Din. Mithaq ialah perjanjian yang telah diikat ketika di Waktu Sebelum Perpisahan.

Mithaq bukan sahaja terikat kepada orang yang memeluk Islam sahaja, malah juga kepada semua manusia termasuklah Ahli Kitab, khususnya Bani Israel. Namun, Bani Israel telah mengingkari perjanjian dengan Tuhan walaupun terpilih sebagai umat pilihan. Sebagaimana dikisahkan bahawa Nabi Musa telah membuat perjanjian dengan Tuhan ketika berteduh di perkhemahan Gunung Sina (Tur Sina) dan kaumnya telah berjanji tidak akan mengingkari perjanjian tersebut lalu diberi undang-undang baru. Akan tetapi mereka tidak memenuhi janji tersebut sehingga dilaknat oleh Allah. Bahkan, sifat menipu dan mengingkari janji menjadi sebati dalam hidup Bani Israel hingga kini.

 Pengarang turut memetik pendapat al-Qurtubi mengenai mithaq antara para nabi dan Tuhan bahawa mereka akan saling menolong, saling mempercayai mukjizat para nabi, peranan dan tanggungjawab sebagai yang terpilih untuk menyebarkan agama Islam kepada seluruh alam. Begitulah kepentingan mithaq yang membawa manusia kembali kepada pegangan hidup beriman kepada Tuhan. Dalam surah al-A’raf, iaitu ayat 171-172 telah menerangkan dengan jelas berkenaan mithaq ruhaniyah dan menurut al-Qurtubi bahawa terdapat golongan yang lebih bercahaya ketika persaksian dan merekalah itulah golongan Nabi.

Malahan ketika itu juga Tuhan telah menjawab tentang nasib manusia yang berbeza-beza antara satu sama lain sama ada dari segi darjat, hina, mulia, kaya atau miskin. Tuhan juga mengatakan kepada Nabi Adam tentang nasib berbeza itu ialah kerana mengajar manusia agar bersyukur dan Allah juga menyebut dalam surah al-Mulk bahawa sangat sedikit orang yang bersyukur dan beruntunglah mereka yang memiliki sifat ini dan dimasukkan mereka ke dalam syurga.

Ibnu Kathir menyebut satu hadith riwayat Muslim berkenaan penetapan nasib kaum Adam yang bermaksud “Sesungguhnya ketika Allah menjadikan Adam, Allah menyapu belakangnya dan dikeluarkan daripadanya zuriat manusia dan berfirman: Aku telah menjadikan mereka untuk syurga dengan amalan ahli syurga dan mereka pun beramal. Kemudian Allah menyapu belakangnya dan mengeluarkan daripadanya zuriat lalu berfirman: Aku jadikan mereka untuk neraka dengan amalan ahli neraka dan mereka pun beramal. Maka seorang lelaki bertanya, “ Wahai Rasulullah, di mana letaknya amal?” Jawab baginda, “Sesungguhnya apabila Allah menjadikan seseorang hamba untuk syurga, dijadikan mereka beramal dengan amalan syurga sehingga dia mati dengan amalan ahli syurga lalu dia akan masuk syurga. Sekiranya Allah menjadikan seseorang hamba untuk neraka, dijadikan mereka beramal dengan amalan neraka sehingga dia mati dengan amalan ahli neraka lalu dia akan masuk neraka.”

Sejak azali manusia dilahirkan dengan fitrah yang beriman kepada Tuhan, dna ibubapalah yang bertanggungjawab dalam membentuk anak mereka sebagai seorang muslim atau sebaliknya sebagaimana disebut dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah yang bermaksud “Setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (yang beriman), kemudian kedua ibubapanya itulah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Pengarang turut menyebut berkenaan mithaq yang dianggap oleh al-Atas, Junayd al-Bahgdadi dan Jalal al-Din al-Rumi bahawa manusia telah berhutang kepada Allah sejak azali dan segala yang dimilik oleh manusia adalah hak milik Allah (mamluk) termasuklah kesenangan dan kekayaan dunia.

Rasa keberhutangan (al-dayn) terhadap Tuhan adalah lahir dari mithaq itu sendiri. Justeru, manusia yang beriman sebagai hamba Allah atau berpegang kepada rububiyyah Allah pasti akan berusaha memulangkan segala hutang kepada Allah dalam bentuk yang amat baik sebagaimana sewaktu pertama kali diturunkan ke bumi iaitu diri sendiri dan amalanya serta itulah dimaksudkan ketinggian maqam ruhaniah asali manusia.

Dalam merungkaikan makna fitrah, al-Attas memperhalusi dengan mendalam maksud tersebut lebih daripada tafsiran tipikal yang selalu diperkatakan iaitu putih dan bersih. Menurut al-Attas, fitrah ialah sesuatu tindakan dan perasaan yang membuatkan manusia tunduk terhadap Tuhan dalam alam kecil (microcosmic universe) iaitu dalam diri insan dan alam yang lebih besar (macrocosmic universe). Kembalinya manusia kepada fitrah inilah yang membuatkan manusia berhasil mengawal Alam Kerajaannya (diri hayawan). Gelaran Ahl al-Wathiq menurut al-Attas ialah mereka yang utuh iman dan tidak mengingkari mithaq dengan Tuhan.

Menurut al-Attas juga, kepentingan mithaq bukan sahaja mengembalikan manusia kepada al-Din dan fitrah, tetapi juga menguatkan ukhuwah antara ruh-ruh yang pernah bertemu dengan Tuhan dan lambang perpaduan “saudara sekeluarga ruhani”. Maka, persaudaran di alam ruh adalah lebih kuat berbanding di dunia ini yang berdasarkan kepentingan persaudaraan demi politik dan kemasyarakatan. Bagi saya, kerana itulah apabila kita bertemu dengan orang asing di jalanan, namun timbul satu perasaan bahawa kita pernah bertemu sebelum ini dan barangkali kita pernah bertemu di alam ruh atau Waktu Sebelum Perpisahan.

Antara kepentingan mithaq yang dikenalpasti juga ialah ia membuktikan suatu kebebasan memilih oleh manusia apabila dalam penuh kesedaran mengatakan bala shahidna (kami bersaksi) terhadap keagungan dan keesaan Allah. Lalu, tiada alasan lagi di akhirat kelak apabila manusia ingin berdalih mereka tidak pernah berjanji atau memilih untuk menyembah Allah kerana mithaq yang dilakukan ialah kerana pilihan mereka sendiri. Cuma harus difahami bahawa kebebasan kita sebagai manusia dalam memilih ialah sangat terhad dan tidak mutlak. 

Isu yang dapat dikaitkan dengan mithaq ialah berkaitan dengan manusia menjadikan sains sebagai panduan hidup manusia. Menurut pendapat Barat terutamanya, alam terjadi dengan sendiri tanpa bantuan ghaib atau Tuhan. Malah, manusia wujud melalui proses evolusi perubahan yang berasal daripada mawas berdasarkan teori Darwinisma ( Sulaiman Haji Noordin, 1979). Sedangkan Allah telah menjelaskan berkenaan penciptaan manusia ( Al-Mukminun 12-14)

Kesimpulannya, mithaq ialah suatu perjanjian asali di Waktu Sebelum Perpisahan antara manusia dan para Nabi dengan Tuhan dan peri pentingnya membawa manusia kembali kepada al-Din, fitrah asali, ketinggian darjat maqam asali ruhaniah, rasa keberhutangan (al-Dayn) kepada Tuhan, menguatkan ukhwah saudara sekeluarga ruhaniah dan mengerti akan kebebasan manusia dalam memilih namun masih terhad sehingga tidak relevan lagi jika mahu berdalih untuk mungkiri mithaq tersebut.

Comments