ULASAN MAKALAH : Novel - Novel Melayu Muthakhir : Analisis Cerminan Nilai Budaya Bangsa ( Ramli Isin )
Berdasarkan analisis Ramli Isin dalam makalah Cerminan Nilai Budaya Bangsa, beliau mengenal pasti bahawa citra-citra sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik merupakan medium untuk melihat dan memahami nilai budaya sesuatu bangsa. Justeru, beliau mengenal pasti nilai budaya tersebut melalui teks penulisan pengarang novel-novel mutakhir seperti Juara karya S. Othman Kelantan, Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga karya Jong Chian Lai dan Rimba Harapan karya Keris Mas.
Meskipun Ramli Isin kelihatan seperti menyokong pendapat Hypolite Taine, Micahael Zeraffa, Diana Lourenson, Alan Swingewood, Umar Junus dan Lucien Goldmann yang menggunakan pendekatan strukturalisme-genetik untuk melihat perkaitan teks novel atau teks sastera sebagai wadah yang mencerminkan nilai budaya sesebuah masyarakat, serta perkaitan itu menunjukkan nilai budaya yang sezaman dengan pengarang masa kini dan budaya sesebuah masyarakat di luar zamannya terutama sekali dari segi pemikiran dan kesedaran bersama.
Namun, beliau tetap menyatakan bahawa strukturalisme-genetik masih mempunyai kelemahannya dalam mengenalpasti dan menzahirkan nilai budaya masyarakat terutama karya sastera novel abad ke-20 terutamanya novel berbentuk roman baru ( nouveau roman ) di Eropah. Tiga aspek citra iaitu sosiobudaya, sosiopolitik dan sosioekonomi sudah jelas tidak dapat dipisahkan. Hal ini dapat dilihat apabila ketiga-tiga aspek tersebut kerap kali dibicarakan secara serentak dalam sesebuah teks dan plot cerita.
Apa yang membezakan adalah cara pengungkapan tiga aspek citra tersebut antara pengarang - pengarang dan ia bergantung kepada kefahaman, pemikiran terbuka, ilusi, daya imaginasi dan kreativiti mereka. Hal ini berkait rapat dengan sifat karya kreatif imaginatif yang turut mementingkan unsur keindahan disamping membayangkan nilai budaya. Antara contoh novel sosial ialah Ranjau Sepanjang Jalan dan Angin Timur Laut. Sebagaimana yang disebut oleh Umar Kayam bahawa pengarang yang dianggap berhasil ialah mereka yang berusaha mencerminkan nilai budaya masyarakat dalam pelbagai pendekatan.
Ramli Isin menegaskan pendapat Pierre Macherey berkenaan cerminan nilai budaya bangsa yang amat kabur dalam teks kesusasteraan moden. Macherey mempercayai bahawa pengarang telah melakukan suatu kesalahan besar apabila mengubah sewenang-wenangnya intipati nilai budaya yang sebenar melalui lambang, simbol atau segala aspek sehingga tidak dapat menyampaikan nilai budaya secara konkrit. Bahkan hal ini juga dipersetujui oleh A. Sudiarja dan apa yang amat dikhuatiri ialah makna teks yang telah pincang akibat terkesan oleh kepentingan peribadi dan emosi pengarang sendiri.
Bagaimanapun, harus dilihat juga terhadap pandangan positif berkenaan teks novel moden mengenai usaha pengarang dalam menjelaskan nilai budaya nilai budaya. Antaranya ialah seperti pendapat oleh Aart van Zoest, Todorov dan Orwel yang mengatakan daya pemikiran imaginatif pengarang sekurang-kurangnya membantu untuk menunjukkan suatu keadaan atau imganasi kepada pembaca berkenaan keadaan sosiobudaya, sosiopolitik dan sosioekonomi yang tidak dapat dapat digambarkan oleh mereka atau di luar zaman mereka serta di tempat yang tidak pernah dijejaki. Contohnya ialah novel Juara oleh S. Othman Kelantan yang menerangkan tentang keadaan masyarakat di Kelantan.
Comments
Post a Comment