PANDANGAN METAFIZIKA TENTANG WUJUD DAN KEWUJUDAN : Manusia dan Psikologinya


Menurut S.M. Naquib Al-Attas, manusia terdiri daripada Ruhaniah dan Jasmaniah. Jasmaniah adalah zahir tubuh badan yang besifat boleh lenyap dan terhakis serta disebut sebagai jiwa haiwani ( al-nafs al-hayawaniyyah ) apabila berhubungan dengan jasad tersebut.  Berbeza dengan sifat Ruhaniah yang sentiasa hidup dan apabila berhubungan dengannya, maka ia digelar jiwa rasional ( al-nafs al- nathiqah ).

Keutamaan yang diberikan terhadap jiwa haiwani dan jiwa rasional ialah bergantung kepada kecerdikan akal ( aql’) dan kecerahan hati ( qalb ) atau kemahuan nafsu ( nafs ). Manusia turut akan mendapat nasib impak kebinasaan atau ganjaran kebaikan hidup di dunia dan akhirat berdasarkan kecenderungan pilihan yang dibuat.

Ketika di alam ruh atau al-Attas menyebut sebagai Waktu Sebelum Perpisahan, Ruhaniah yang bersifat hidup telah bersumpah dengan Tuhan untuk menyembah dan beribadah hanya kepada-Nya. Namun, manusia yang bersikap alpa akan sering memungkiri janji tersebut serta melakukan kezaliman dan kejahilan ( jahl ). Bahkan, pada Waktu Sebelum Perpisahan, Tuhan juga telah melantik manusia sebagai pemimpin atau khalifah yang bertanggungjawab menjaga keadilan dan keamanan dunia serta menjaga diri sendiri daripada kebinasaan dan kezaliman.

Keistimewaan yang terdapat pada manusia ialah Aql’ dan hal inilah yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Justeru, agama atau Din diturunkan kepada manusia untuk membimbing akal dan hati kembali ke Keadaan Sebelum Perpisahan iaitu keadaan yang terdapat kesedaran jati diri melalui ilmu dan akhlak yang baik sehingga mencapai kebahagiaan ( sa’adah ) di dunia dan juga apabila kembali kepada Tuhan iaitu di saat kematian atau pengakhiran yang baik ( husnul khatimah ).

Segala prinsip kehidupan dan psikologi mental yang baik adalah bergantung kepada kefahaman ilmu wahyu iaitu al-Quran dan juga bergantung kepada pemerhatian dan tafakur terhadap ciptaan di dunia ini yang jelas membuktikan kekuasaan-Nya terhadap segala sesuatu. Apabila manusia menurut prinsip kehidupan dan psikologi mental yang baik, justeru mereka akan cenderung untuk tidak memenuhi keinginan fizik dan keperluan psikologi yang melampau sehingga membawa juga kepada kebahagiaan ruhaniah.

Bahkan, darjat mereka di sisi Tuhan turut meningkat kerana mahabbah terhadap Tuhan dan merekalah yang terpilih dalam golongan yang dapat melihat Tuhan ( ru’yatu’ I-Lah ) di akhirat kelak. Meskipun al-Attas mengatakan bahawa ilmu kajian sains moden sekular hanya terhad untuk kajian sesetengah bidang sahaja seperti biologi dan antropologi.

Namun meskipun begitu, beliau masih menegaskan bahawa jasad masih berperanan penting terhadap ruhaniah kerana jasad ialah medium untuk memahami lima deria dan seluruh pancaindera, lalu seterusnya memberi maklumat kepada Ruhaniah. Paling penting ialah yang membawa kepada ilmu akidah Islam yang sering diabaikan oleh ahli pemikir moden. Kedua-duanya juga saling melengkapi bagaikan jasad sebagai tubuh kereta yang memerlukan minyak ( ruhaniah ) untuk bergerak.

Menurut al-Attas lagi, setiap kapasiti dan kemampuan individu ialah berbeza dengan individu lain sama ada dari segi intelektual atau spiritual sebagaimana dijelaskan juga berkenaan beban dan tanggungjawab yang diberi oleh Tuhan bergantung kepada kemampuan seseorang. Itulah konsep adil diaplikasi dalam kehidupan. Kerana itu, ujian luar biasa tidak akan ditimpa kepada orang yang biasa kapasiti kemampuannya.

Konsep keadilan menurut al-Attas membawa maksud meletakkan sesuatu yang benar pada tempatnya. Maka, keadilan dalam perhubungan sesama makhluk, Tuhan dan alam ialah harus berpandukan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Jika tidak, akan berlaku ketidakadilan bukan sahaja kepada yang lain tetapi juga kepada diri sendiri. Begitulah kepentingan perhubungan antara jasad dan psikologi manusia yang memenuhi kebutuhan antara satu sama lain.


ULASAN DARIPADA MAKALAH : Wan Mohd. Noor Wan Daud.2005. Falsafah dan amalan Pendidikan Islam Syed Naquib al- Attas: Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi.


Comments